Tuesday, May 6, 2008

MAKNA KEIMANAN DAN KETAKWAAN KEPADA ALLAH

Keimanan bermakna kepercayaan dan pegangan hidup yang kukuh tidak hanya tersemat di hati tetapi ia disertakan dengan ketaatan dan amalan terhadap apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah s.w.t. Keimanan erat kaitannya dengan fitrah kejadian manusia sebagai makhluk ciptaan Allah s.w.t. Itulah sebabnya, Imam Nawawi menegaskan bahawa fitrah kejadian manusia itu adalah keimanan dan kepercayaan, ketika beliau menjelaskan hadis Rasulullah s.a.w, riwayat Imam Muslim tentang “kelahiran bayi berasas kepada fitrahnya”. Jika fitrah bayi itu dijaga dan dididik dengan nilai-nilai mulia maka ia akan menjadi insan yang sempurna dan baik. Maka begitulah pula sebaliknya pendidikan, persekitaran dan ibu bapa adalah elemen penting boleh mewarnai kehidupan seseorang bayi.
Oleh yang demikian, sistem keimanan dan kepercayaan merupakan sifat semulajadi umat manusia yang tumbuh dan berkembang hinggalah menjadi suatu pegangan hidup. Wujudnya penyimpangan dan perbezaan keimanan ini, hanyalah disebabkan kerana faktor pemeliharaan fitrah yang terlepas dari pemeliharaan dan pentarbiahan. Sekiranya fitrah seseorang sejak lahir di dunia terjaga dengan baik, ianya akan tumbuh menjadi keimanan atau kepercayaan atau pegangan hidupnya.
Faktor pemeliharaan dan pentarbiahan fitrah inilah yang dikaitkan dengan konsep ketakwaan. Kerana takwa adalah dari perkataan “wiqayah” yang mengandungi makna pemeliharaan dan penjagaan. Maknanya jika keimanan diibaratkan tumbuhan maka ketakwaan itulah baja dan siramannya.
Mengikut Hamka, keimanan bermakna kepercayaan iaitu pengakuan hati yang dibuktikan dengan amalan perbuatan yang dilafazkan oleh lidah, akhirnya menjadi keyakinan hidup manusia. Sementara ketakwaan, ianya mengandungi makna seperti berikut:
memelihara hubungan yang baik dengan Pencipta
memelihara diri daripada perbuatan yang tidak diredhai oleh Pencipta
memelihara dan melaksanakan segala perintah Pencipta untuk diamalkan.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan bahawa perkataan takwa itu tidak boleh diertikan dengan makna takut, kerana hakikat ketakwaan meliputi makna amal, cinta, kasih, harap, tawakkal, redha, sabar dan sebagainya. Jadi makna ketakwaan jauh lebih luas dibandingkan dengan makna takut.
Ketakwaan adalah hasil daripada pentarbiahan keimanan melalui amal soleh. Maknanya orang yang bertakwa adalah orang yang telah teruji keimanannya sehingga mampu menjadikannya sebagai suluh dalam kehidupannya. Jadilah ia sebagai orang bertakwa kerana dalam kehidupannya telah terpelihara dan terhindar dari perbuatan keji malah ia sentiasa melakukan yang terbaik dan berguna dalam setiap aktivitinya.
Daripada huraian di atas, difahami bahawa keimanan dan ketakwaan dari segi konsepnya tidak harus dipisahkan antara satu sama lain dan tidak harus dipisahkan di antara keyakinan atau kepercayaan dengan amalan baik dan terpuji dan usaha mengupayakan manusia disamping sentiasa menolak kerja-kerja keji atau tidak bermoral samada terhadap Penciptanya atau sesama manusia dan alam sekitarnya kerana kedua-duanya mempunyai kaitan makna yang tidak dapat difahami secara berasingan. Kerana makna keimanan dan ketakwaan adalah saling melengkapi iaitu kepercayaan yang menghasilkan pemeliharaan jati diri manusia. Di dalam al-Quran pun didapati firma Allah s.w.t yang menggabungkan di antara keimanan dan ketakwaan sebagai syarat dan asas untuk mendapatkan keredhaan Allah, keselamatan hidup dan ganjaran pahala di hari akhirat, seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sekiranya mereka beriman dan bertakwa, pastilah ganjaran pahala di sisi Allah adalah lebih baik (bagi mereka)” (al-baqarah:103).
Kesimpulan maksud firman Allah s.w.t. di atas, secara jelas menghubungkaitkan keimanan dan ketakwaan dan menjadikan kedua-duanya sebagai dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan termasuk dari sudut pengertian dan pemahamannya.

Dengan demikian, jelaslah bahawa keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t merupakan prinsip hidup umat manusia yang mempunyai tujuan untuk memperolehi bimbingan, hidayah, pertolongan Allah s.w.t dalam membangun dan memajukan kehidupan mereka di atas dunia ini agar mereka mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat.
Dari sudut terminologi, iman jika digunakan secara bersendirian, maka ia mengandungi makna takwa. Begitu juga sebaliknya jika perkataan takwa diguna secara bersendirian ianya mengandungi makna iman. Dan jika disebut dua-dua maka keduanya mengandungi erti yang berbeza tetapi saling melengkapi.Dalam konteks umat Islam, sudah tentu makna keimanan dan ketakwaan kepada Allah adalah usaha mengaplikasikan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka. Disamping itu, mereka memelihara kemurnian akhlak dan moral kemanusiaan serta pengiktirafan yang seadil-adilnya sesama manusia dan makhluk seluruhnya sehingga orang yang bukan muslim pun merasa terhormat dan terjamin keselamatannya hidup bersama umat Islam.
Penampilan umat Islam yang beriman dan bertakwa sudah tentu selari dengan konsep “ummatan wasatan” (umat yang bersikap sederhana dan moderate). Di mana umat Islam sentiasa memberi contoh yang terbaik dan unggul dalam melaksanakan aktiviti kehidupan mereka. Amalan dan sikap hidup mereka sentiasa mencerminkan nilai-nilai murni yang mereka percaya dan beramal dengannya.
Manusia yang beriman dan bertakwa adalah manusia yang sentiasa optimistik, berfikiran terbuka dan memiliki kekuatan jiwa dan emosi yang terkawal untuk mengerjakan yang terbaik bagi diri, keluarga, masyarakat, negara dan makhluk sejagat. Disamping itu, mereka juga memiliki kemampuan menyaring dan menapis semua perkara atau budaya yang bercanggah dengan norma dan nilai agamanya. Kerana iman dan takwanya kepada Allah membimbingnya ke jalan yang lurus bagi melakukan perkara-perkara yang bermanfaat, oleh sebab keimanan itulah menjadi sumber pelbagai kebaikan.
Sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis, riwayat Bukhari dan Muslim; yang bermaksud: “Keimanan itu memiliki 60 cabang kebaikan, sifat malu adalah satu daripadanya”. Disamping rasa malu (melakukan kesalahan dan penyelewengan) sifat kasih dan cinta kepada orang lain adalah juga bahagian yang utama daripada keimanan. Rasulullah s.a.w pernah menerangkan bahawa: “Tidak beriman di antara kamu melainkan ia mengasihani saudaranya sepertimana ia mencintai dirinya sendiri”

Oleh yang demikian, manusia yang memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t akan sentiasa berkata yang benar, hormat kepada orang lain dan memperbaiki hubungan kemasyarakatannya tanpa mengira unsur keturunan ataupun golongan dan agama, dan sentiasa berusaha tidak akan menjerumuskan diri dalam kecelakaan dan kesengsaraan.
Demikianlah makna keimanan dan ketakwaan kepada Allah menurut perspektif al-Quran, Hadis dan Ulama Islam ia telah ditetapkan menjadi prinsip pertama kepada pendekatan Islam Hadhari yang boleh dipastikan sebagai unsur dalaman manusia dan tindakan luaran secara sepadu yang perlu difahamai secara luas mengikut kefahaman Islam sebenar.yang perlu difahami secara benar mengikut kefahaman Islam sebenar.

1 comment:

kamaruzaman b. ahmad said...

Iman adalah aqidah. Aqidah adalah kepercayaan dan kepercayaan berlandaskan keyakinan. Keyakinan mempunyai tingkatannya.

1. Ilmulyakin

Keyakinan ini adalah peringkat yang paling rendah yang wajib bagi setiap muslim jika mahu dikatakan beriman. Ilmulyakin adalah menyakini ilmu guru yang kita pelajari. Berguru adalah asas pertama keyakinan. Sabda Rasulallah: "orang yang tiada guru sesungguhnya telah berguru dengan syaitan" Siapa sebenarnya syaitan? Nafsu mereka yang mengolah-olah agama dengan sendiri itulah syaitan. Kebanyakan orang Islam hariini mengolah-olah agama melalui pembacaan. Apa yang dibaca diolah sendiri dengan apa yang ada pada mereka.
Agama sebenarnya bagi orang yang beriman adalaah pegangan. Sebagaimana berpegangnya para sahabat dahulu kepada Rasulallah. Hanya Rasulallah sahaja naik dan menyaksikan Tuhan di dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj. Para sahabat hanya berpegang kepada penyakssian Rasulallah ini melalui apa yang dipanggil ilmu tauhid. Rasulallah sendiri bukan lagi orang yang bertauhid tetapi seorang ma'rifah (mengenal).

Begitulah seharusnya kita dengan imam pegangan kita (Guru)dan guru pula mestilah seorang yang boleh membawa kita sampai kepaada Allah. Jikalau tidak beliau tidak layak menjaadi guru keimanan. Mungkin ulama feqah atau tauhid tetapi bukan wal ulama warisatul anbiya yang mewarisi ilmu kenabian.

Mereka inilah buhul tali pengganti Rasulallah. Sabda Rasulallah:"Apabila matinya seorang nabi dikaalangan Bani Israil maka diganti dengan Nabi lain, tetapi tiada nabi sesudah aku namun aku tinggal ramai pengganti". Pengganti ini bukanlah sebarang ulama tetapi ulama yang bertaraf laadunni (ilmu dari sisi kami) sebagaimana wahyu (ilmu dari sis kami juga ) bagi seorang Rasul. Mereka inilah yang mewarisi ilmu kenabian (Aqidah) melalui ladunni. Mereka ini akan ada di setiap zaman hingga hari kiamat. Mereka inilah sangat sukar dicari kerana tidak duduk dimasjid kerana mereka sendiri adalah masjid bersesuaian dengan sabda Rasulallah: "Qalbulmukmininbaitillah". Carilah mereka walaupun sampaikenegeri China. Jika sekira nya di dalam usaha mencari kita mati, dikira sebagai orang yang menuntut ilmu.

janganlah bernafsu nafsi dengan agama kerana kita bukan orang yang mengenal Tuhan. Carilah Khalifah pengganti Allah. Walaupun anbiya sudah tiada tetapi auliyanya masih ada. Zaman berakhirnya awliya ini sudah semakin hampir bermakna kiamat sudah semakin hampir.

Mereka inilah ilmunya bertaraf Muhammad. Tanpa syafaat (pertolongan) dari mereka putuslah tali hubungan kita dengan Allah.

Ingatlah orang yang tiada guru (sebenar guru) maka dia tiada Rasul dan orang yang tiada rasul maka sesungguhnya dia tiada Tuhan. Mereka inilah orang-orang yang duduk di bawah ilmulyakin. Sesungguhnya mereka tiada keyakinan. Hanya Islam baka atau Islam ikut-ikutan. Mereka inilah 72 golongan yang melakukan semua amalan orang Islam tetapi jauh dari aqidah.

Cukuplah setakat ini dulu sebagai permulaan.