Tuesday, May 6, 2008

MAKNA KEIMANAN DAN KETAKWAAN KEPADA ALLAH

Keimanan bermakna kepercayaan dan pegangan hidup yang kukuh tidak hanya tersemat di hati tetapi ia disertakan dengan ketaatan dan amalan terhadap apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah s.w.t. Keimanan erat kaitannya dengan fitrah kejadian manusia sebagai makhluk ciptaan Allah s.w.t. Itulah sebabnya, Imam Nawawi menegaskan bahawa fitrah kejadian manusia itu adalah keimanan dan kepercayaan, ketika beliau menjelaskan hadis Rasulullah s.a.w, riwayat Imam Muslim tentang “kelahiran bayi berasas kepada fitrahnya”. Jika fitrah bayi itu dijaga dan dididik dengan nilai-nilai mulia maka ia akan menjadi insan yang sempurna dan baik. Maka begitulah pula sebaliknya pendidikan, persekitaran dan ibu bapa adalah elemen penting boleh mewarnai kehidupan seseorang bayi.
Oleh yang demikian, sistem keimanan dan kepercayaan merupakan sifat semulajadi umat manusia yang tumbuh dan berkembang hinggalah menjadi suatu pegangan hidup. Wujudnya penyimpangan dan perbezaan keimanan ini, hanyalah disebabkan kerana faktor pemeliharaan fitrah yang terlepas dari pemeliharaan dan pentarbiahan. Sekiranya fitrah seseorang sejak lahir di dunia terjaga dengan baik, ianya akan tumbuh menjadi keimanan atau kepercayaan atau pegangan hidupnya.
Faktor pemeliharaan dan pentarbiahan fitrah inilah yang dikaitkan dengan konsep ketakwaan. Kerana takwa adalah dari perkataan “wiqayah” yang mengandungi makna pemeliharaan dan penjagaan. Maknanya jika keimanan diibaratkan tumbuhan maka ketakwaan itulah baja dan siramannya.
Mengikut Hamka, keimanan bermakna kepercayaan iaitu pengakuan hati yang dibuktikan dengan amalan perbuatan yang dilafazkan oleh lidah, akhirnya menjadi keyakinan hidup manusia. Sementara ketakwaan, ianya mengandungi makna seperti berikut:
memelihara hubungan yang baik dengan Pencipta
memelihara diri daripada perbuatan yang tidak diredhai oleh Pencipta
memelihara dan melaksanakan segala perintah Pencipta untuk diamalkan.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan bahawa perkataan takwa itu tidak boleh diertikan dengan makna takut, kerana hakikat ketakwaan meliputi makna amal, cinta, kasih, harap, tawakkal, redha, sabar dan sebagainya. Jadi makna ketakwaan jauh lebih luas dibandingkan dengan makna takut.
Ketakwaan adalah hasil daripada pentarbiahan keimanan melalui amal soleh. Maknanya orang yang bertakwa adalah orang yang telah teruji keimanannya sehingga mampu menjadikannya sebagai suluh dalam kehidupannya. Jadilah ia sebagai orang bertakwa kerana dalam kehidupannya telah terpelihara dan terhindar dari perbuatan keji malah ia sentiasa melakukan yang terbaik dan berguna dalam setiap aktivitinya.
Daripada huraian di atas, difahami bahawa keimanan dan ketakwaan dari segi konsepnya tidak harus dipisahkan antara satu sama lain dan tidak harus dipisahkan di antara keyakinan atau kepercayaan dengan amalan baik dan terpuji dan usaha mengupayakan manusia disamping sentiasa menolak kerja-kerja keji atau tidak bermoral samada terhadap Penciptanya atau sesama manusia dan alam sekitarnya kerana kedua-duanya mempunyai kaitan makna yang tidak dapat difahami secara berasingan. Kerana makna keimanan dan ketakwaan adalah saling melengkapi iaitu kepercayaan yang menghasilkan pemeliharaan jati diri manusia. Di dalam al-Quran pun didapati firma Allah s.w.t yang menggabungkan di antara keimanan dan ketakwaan sebagai syarat dan asas untuk mendapatkan keredhaan Allah, keselamatan hidup dan ganjaran pahala di hari akhirat, seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sekiranya mereka beriman dan bertakwa, pastilah ganjaran pahala di sisi Allah adalah lebih baik (bagi mereka)” (al-baqarah:103).
Kesimpulan maksud firman Allah s.w.t. di atas, secara jelas menghubungkaitkan keimanan dan ketakwaan dan menjadikan kedua-duanya sebagai dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan termasuk dari sudut pengertian dan pemahamannya.

Dengan demikian, jelaslah bahawa keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t merupakan prinsip hidup umat manusia yang mempunyai tujuan untuk memperolehi bimbingan, hidayah, pertolongan Allah s.w.t dalam membangun dan memajukan kehidupan mereka di atas dunia ini agar mereka mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat.
Dari sudut terminologi, iman jika digunakan secara bersendirian, maka ia mengandungi makna takwa. Begitu juga sebaliknya jika perkataan takwa diguna secara bersendirian ianya mengandungi makna iman. Dan jika disebut dua-dua maka keduanya mengandungi erti yang berbeza tetapi saling melengkapi.Dalam konteks umat Islam, sudah tentu makna keimanan dan ketakwaan kepada Allah adalah usaha mengaplikasikan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka. Disamping itu, mereka memelihara kemurnian akhlak dan moral kemanusiaan serta pengiktirafan yang seadil-adilnya sesama manusia dan makhluk seluruhnya sehingga orang yang bukan muslim pun merasa terhormat dan terjamin keselamatannya hidup bersama umat Islam.
Penampilan umat Islam yang beriman dan bertakwa sudah tentu selari dengan konsep “ummatan wasatan” (umat yang bersikap sederhana dan moderate). Di mana umat Islam sentiasa memberi contoh yang terbaik dan unggul dalam melaksanakan aktiviti kehidupan mereka. Amalan dan sikap hidup mereka sentiasa mencerminkan nilai-nilai murni yang mereka percaya dan beramal dengannya.
Manusia yang beriman dan bertakwa adalah manusia yang sentiasa optimistik, berfikiran terbuka dan memiliki kekuatan jiwa dan emosi yang terkawal untuk mengerjakan yang terbaik bagi diri, keluarga, masyarakat, negara dan makhluk sejagat. Disamping itu, mereka juga memiliki kemampuan menyaring dan menapis semua perkara atau budaya yang bercanggah dengan norma dan nilai agamanya. Kerana iman dan takwanya kepada Allah membimbingnya ke jalan yang lurus bagi melakukan perkara-perkara yang bermanfaat, oleh sebab keimanan itulah menjadi sumber pelbagai kebaikan.
Sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis, riwayat Bukhari dan Muslim; yang bermaksud: “Keimanan itu memiliki 60 cabang kebaikan, sifat malu adalah satu daripadanya”. Disamping rasa malu (melakukan kesalahan dan penyelewengan) sifat kasih dan cinta kepada orang lain adalah juga bahagian yang utama daripada keimanan. Rasulullah s.a.w pernah menerangkan bahawa: “Tidak beriman di antara kamu melainkan ia mengasihani saudaranya sepertimana ia mencintai dirinya sendiri”

Oleh yang demikian, manusia yang memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t akan sentiasa berkata yang benar, hormat kepada orang lain dan memperbaiki hubungan kemasyarakatannya tanpa mengira unsur keturunan ataupun golongan dan agama, dan sentiasa berusaha tidak akan menjerumuskan diri dalam kecelakaan dan kesengsaraan.
Demikianlah makna keimanan dan ketakwaan kepada Allah menurut perspektif al-Quran, Hadis dan Ulama Islam ia telah ditetapkan menjadi prinsip pertama kepada pendekatan Islam Hadhari yang boleh dipastikan sebagai unsur dalaman manusia dan tindakan luaran secara sepadu yang perlu difahamai secara luas mengikut kefahaman Islam sebenar.yang perlu difahami secara benar mengikut kefahaman Islam sebenar.

PERANAN IMAN DAN TAKWA DALAM KEHIDUPAN

Manusia adalah makhluk dwidimensi yang merangkumi kedua-dua unsur fizikal dan spiritual yang saling lengkap-melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Akan tetapi unsur kerohanianlah yang merupakan aspek unik dan utama yang melonjakkan martabat manusia kepada sebaik-baik kejadian.

Akal dan pemikiran manusia adalah cirri utama yang membezakannya daripada seluruh kejadian yang lain. Ianya merupakan satu manifestasi tanggungjawab dan kepintaran untuk mengurus dan mentadbir kejadian disekelilingnya mengikut acuan dan kemahuannya. Disamping ia memiliki daya untuk berfikir dan menganalisis untuk mendapatkan apa yang difikirkan terbaik dan boleh mendatangkan manfaat kepada diri dan masyarakatnya.
Walau bagaimanapun, kemampuan akal amat terhad ia hanya berkisar di atas platform fizikal yang nyata. Di sinilah letak peranan tubuh dan fizikal badan sebagai instrument untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi yang dicetuskan oleh akal dan pemikiran. Kuasa akal amatlah terbatas dan tidak dapat mencapai hakikat dan kebenaran yang mutlak, kerana instrument yang digunakan hanyalah pancaindera dan deria yang hanya dapat mengesan perkara-perkara yang zahir dan bersifat fizikal sahaja disamping ia mudah dipengaruhi oleh persekitarannya. Manakala, perkara-perkara yang ghaib dan di luar darinya tidak dapat ditafsirkan atau dimutlakkan kewujudannya oleh akal manusia. Di sinilah letak peranan iman dan takwa sangat diperlukan selaku wahana untuk mendapatkan bimbingan ke arah membuka jalan kebenaran melalui hidayah dan taufik Ilahi.
Mengikut panduan agama, peranan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dapat difahami dan dihayati dalam dua dimensi yang penting, iaitu:
Pertama; iman dan takwa sebagai penggerak membuka minda untuk mencari jalan yang terbaik dalam melaksanakan tugas khalifah umat manusia bagi tujuan memakmur dan membangunkan dunia ini menjadi suatu destinasi yang selesa dan menyenangkan untuk berbakti dan mencari keredhaan Ilahi. Disamping itu, iman dan takwa juga dapat memberikan motivasi dan rangsangan yang kuat terhadap pembentukan peribadi dan jati diri manusia yang unggul. Kekuatan ini bersesuaian dengan fitrah dan naluri semula jadi manusia yang amat dahagakan pengetahuan dan kepercayaan terhadap Pencipta dan kuasa agung yang telah menjadikan alam ini dan membawa manusia ke alam kehidupan ini.
Kedua; sebagai pemelihara dan penapis iman dan takwa memberi kekebalan atau kelalian kepada umat manusia supaya tidak mudah tergoda dan terpengaruh kepada perkara-perkara negatif yang boleh menghalang perlaksanaan tugas khalifah di muka bumi. Kerana kehidupan yang penuh dengan cabaran seperti hari ini, perlu dihadapi dengan persiapan mental, emosi dan ketrampilan diri yang memadai. Iman dan takwa juga memberi kekuatan dalaman kepada manusia untuk terus berjuang dalam kehidupan ini tanpa mudah pasrah dan bergantung kepada kemampuan orang lain. Justeru, dorongan untuk bersaing dan berlumba dalam meraih kemajuan adalah termasuk sebahagian daripada iman yang tersemai dalam diri.
Dengan menghayati dua dimensi yang terkandung dalam prinsip keimanan dan ketakwaan ini, jelas memberi kebebasan kepada umat manusia untuk menjalankan aktiviti pembangunan yang akan membawa kepada kemajuan yang berasas kepada keadilan dan kesejahteraan semua warga masyarakat yang dinaungi oleh rahmat Allah s.w.t yang dikenali dalam Islam sebagai konsep negara yang maju, makmur dan mendapat keampunan Ilahi.
Ada empat perkara penting yang dihasilkan oleh prinsip keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t jika dihayati secara benar, iaitu:.
Pertama; menjadikan manusia bebas tidak dikongkong oleh kuasa lain selain daripada Allah Yang Maha Esa. Akal fikirannya pula terbuka luas, bebas daripada belenggu khayalan dan khurafat. Hatinya merasa lapang tidak terikat dengan rasa rendah diri dan hina-dina. Termasuk emosinya akan terkawal kerana ia merasa berserah diri kepada Yang Maha Kuasa setelah melaksanakan segala usaha dan upaya yang ada padanya.
Kedua; membentuk sahsiah seimbang yang tercermin dari tingkah laku dan cara berfikirnya. Hasrat kehidupannya menuntut keredhaan Allah s.w.t terserlah ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Manhaj kehidupannya diasaskan kepada cinta kasih dan hormat-menghormati kepada sesama manusia dan alam sekitarnya.
Ketiga; melahirkan rasa ketenangan dalam hidupnya. Menutup pintu rasa takut dan khuatir, samada pada diri dan keluarganya, begitu juga terhadap rezeki dan kematian. Kerana ianya telah bergantung sepenuhnya kepada rahmat dan hidayah Tuhannya. Aktiviti hidupnya dijalankan dengan penuh keikhlasan dan pengharapan akan redha Tuhannya, kerana semua amal kerja yang dilakukannya telah diniatkan sebagai sebahagian daripada tugas ibadah dan khalifah di muka bumi.
Keempat; membangunkan potensi diri dan kekuatan jiwa yang dibina di atas usaha dan yakin kepada Allah s.w.t. Dengan demikian ia menikmati kehidupannya dengan penuh kepuasan kepada Tuhannya. Rasa optimis dengan bimbingan Tuhannya sentiasa membangkitkan semangat untuk beramal, beribadah sesuai dengan fungsi dan peranannya hidup di dunia ini.

IMAN DAN TAKWA MEMBENTUK MANUSIA MULIA DAN BERUPAYA

Iman dan takwa bertujuan untuk melahirkan manusia sejati yang boleh diertikan sebagai seorang yang baik, bukan sahaja taat dan patuh kepada Allah s.w.t sebagai Pencipta manusia, malah ia dapat mentadbir dan memelihara keseimbangan dan keharmonian kejadian dan alam di sekelilingnya.Manusia yang beriman dan bertakwa akan memiliki persepsi dan pandangan yang seimbang, bukan hanya tertumpu kepada dirinya sahaja sebagai individu, malah ia turut merangkumi pelbagai peringkat hubungan, antaranya:
Hubungannya dengan Tuhan
Hubungannya dengan masyarakat sekeliling
Hubungannya dengan alam sekitar
Hubungannya dengan diri sendiri
Allah s.w.t menegaskan dalam firmanNya bermaksud “kepentingan manusia berpegang kepada iman dan takwa disamping melakukan perkara-perkara yang baik dan mencegah kemungkaran sebagai salah satu ciri penting umat yang berjaya dan terbaik. Ia bukan sahaja tertentu kepada perkara-perkara berkaitan agama sahaja, bahkan meliputi keseluruhan aspek kehidupan dan pergaulan sesama manusia tanpa mengira batasan agama, bangsa dan negara” (Ali Imran:110).
Iman dan takwa menjana sifat-sifat terpuji seperti tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas. Semua sifat-sifat ini menjadi asas utama menjana kemuliaan dan keharmonian umat manusia.
Seorang yang beriman dan bertakwa akan menyedari bahawa terdapat satu kuasa agung yang sentiasa memerhatikan segala gerak-geri dan perbuatannya untuk dinilai dan dipersoalkan kelak. Oleh itu, setiap perbuatan perlu dilakukan dengan penuh hati-hati dan jujur. Seseorang yang memiliki iman dan takwa sentiasa berwaspada dan sedar akan tanggungjawab dan peranan yang harus dilakukannya.
Inilah intipati dan kesan daripada penghayatan terhadap konsep “ihsan” yang merupakan antara peringkat iman yang tertinggi. Ibarat seorang pekerja yang sentiasa diperhatikan oleh majikannya dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan segala tugas dan tanggungjawab yang diberi dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Jika terdapat sebarang kesilapan ataupun kesalahan, ia akan disusuli oleh pengakuan dan perjanjian untuk tidak mengulangi perbuatan sedemikian di masa akan datang.
Iman dan takwa juga menyumbang ke arah kestabilan dan kekuatan rohani, emosi dan mental serta memberikan makna dan hala tuju yang jelas terhadap tujuan kehidupan manusia di dunia ini. Agama mengajarkan bahawa manusia sebenarnya adalah makhluk kejadian allah s.w.t yang telah dimartabatkannya sebagai sebaik-baik kejadian di dunia ini. Ia dilahirkan ke dunia ini khusus sebagai hamba dan khalifah Allah. Dunia menjadi medan ujian untuk menilai kebolehan dan keupayaan manusia mentadbir dan berbakti kepada Allah s.w.t menerusi interaksi sesama manusia dan alam sekitarnya. Setelah itu, segala amalan dan perlakuan manusia akan dinilai dan diberikan balasan yang setimpal di akhirat kelak.
Seorang insan yang memahami tujuan wujudnya kehidupan ini akan mendapat satu kekuatan dan kuasa yang memberikan motivasi untuk beramal dan berusaha dengan gigih di dunia ini sebagai landasan ke satu alam lain yang abadi. Semua amalan dan perbuatan yang dilakukan akan disesuaikan dengan matlamat mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Sekiranya berlaku suatu ujian atau cubaan yang memerlukan pengorbanan baik dalam bentuk harta, nyawa dan emosi, ia akan sentiasa menerimanya dengan sikap yang terbuka dan positif.
Iman dan takwa juga meruntuhkan ego dan nilai-nilai negatif dalam kehidupan serta menimbulkan sifat-sifat positif seperti gigih bekerja keras, menjalin hubungan baik sesama manusia, bercita-cita tinggi untuk mencari kebahagiaan kerana orang yang beriman dan bertakwa akan merasakan bahawa dirinya hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada skima kejadian dan kewujudan di alam semesta ini yang berkait rapat dan saling memerlukan antara satu sama lain. Tanpa pertolongan daripada individu lain dan alam persekitarannya, dirinya tidak akan mampu menjalani kehidupannya dengan teratur dan lebih selesa. Dengan demikian orang beriman dan bertakwa merasakan dirinya amat kerdil sekali jika dibandingkan dengan kejadian-kejadian yang lain.
Manusia yang memiliki iman dan takwa sentiasa terdorong untuk berusaha dengan gigih bagi mencapai kejayaan dalam segenap aspek perbuatan dan perlakuannya sehingga terbentuk di dalam dirinya satu disiplin moral dan pegangan positif yang selalunya mengajak ke arah nilai-nilai yang mulia dan terpuji. Oleh itu, orang beriman dan bertakwa akan dikenali sebagai orang yang berbudi pekerti mulia dan dihormati.
Penghayatan yang sebenar terhadap konsep iman dan takwa ini mampu mengurangkan masalah akhlak dan moral masyarakat akibat tidak berpegang teguh kepada agama dan hanya berlandaskan hidup kepada pertimbangan fizikal dan material semata-mata.
Iman dan takwa menanamkan sikap bertolak-ansur, hormat-menghormati serta toleransi yang tinggi sesama manusia dan terhadap alam sekeliling.Hakikat ini dapat dilihat dari aspek hubungan antara seseorang individu dengan manusia dan alam sekelilingnya. Orang yang beriman dan bertakwa pastinya akan mengamalkan sikap toleransi, bekerjasama dan tolong-menolong sesama insan tanpa mengira batasan agama, bangsa dan sebagainya. Disamping membantu memastikan keseimbangan dan keharmonian hubungannya dengan dunia persekitarannya, mereka bergaul sesama manusia dan alam sekitar dengan sebaik-baik pergaulan tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan bahasa. Apatalah lagi jika mereka tinggal bersama-sama di dalam sebuah negara yang memerlukan mereka berkerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain kerana konsep tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan membenci perkara mungkar adalah di antara teras utama bagi iman dan takwa.
Mereka juga mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap penguasaan ilmu pengetahuan dan kepentingannya sebagai alat untuk mendapatkan kejayaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat kerana penguasaan ilmu pengetahuan merupakan sebagai salah satu medium untuk mencari dan mendapatkan kebenaran dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Penguasaan Teknologi dan pemilikan ilmu bukan sahaja berkaitan dengan amalan keagamaan tetapi juga yang bersangkut-paut dengan kehidupan di dunia kerana penguasaan ilmu pengetahuan merupakan faktor yang menentukan kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu pengetahuan seperti firmanNya yang bermaksud: “Allah mengangkat darjat dan kedudukan orang beriman dan berilmu” dan firmanNya lagi yang bermaksud: “adakah sama nilai kerja orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, jawabnya tentu tidak” kerana kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara bersepadu boleh menjadikan sesebuah masyarakat itu memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan semasa. Ini bertujuan supaya kecemerlangang intelektual dapat dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat dibangunkan. Perkara ini menjadi penting bagi melahirkan insan seimbang dan harmonis.

IMAN DAN TAKWA KAITANYA DENGAN ORANG ISLAM

Di Malaysia, agama Islam telah ditentukan sebagai agama rasmi negara melalui Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, rakyat bebas menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Toleransi agama seperti ini merupakan satu pendekatan keagamaan yang didorong oleh rasa iman dan takwa umat Islam. Ia telahpun diterjemahkan dalam kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. Beliau juga memberi ruang kepada penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman di Kota Madinah.
Kedudukan orang-orang bukan Islam yang tidak terjejas hak mereka, dapat dilihat dengan lebih jauh dalam amalan Baginda, khususnya dalam Perlembagaan Madinah. Dokumen ini merupakan bukti konkrit di mana orang-orang Islam dan bukan Islam hidup bersama-sama dan masing-masing menikmati hak mereka, sungguhpun orang-orang Islam kuat pegangan agama mereka. Malah penghayatan mereka kepada iman dan takwa mendorong mereka untuk lebih bertanggungjawab terhadap semua anggota masyarakat termasuk yang bukan Islam.
Iman dan takwa sama sekali tidak menghalang kewujudan bersama orang-orang bukan Islam di kalangan masyarakat Islam. Al-Quran dengan jelas mengiktiraf hakikat kewujudan masyarakat majmuk dalam sesebuah masyarakat. Malah konsep kongsi kuasa sepertimana amalan Malaysia adalah tidak bercanggah dengan nilai iman dan takwa yang menjadi pegangan kepercayaan umat Islam. Justeru itu, ianya memberi impak yang cukup besar di mana hampir tiada kacau bilau mahupun pertelingkahan yang timbul akibat daripada salah faham agama.
Kewujudan berbagai-bagai bangsa dan agama dapat dilihat umpamanya menerusi konsep kebebasan beragama yang diberi jaminan dalam Islam. Orang-orang bukan Islam adalah bebas untuk menganut apa-apa kepercayaan yang dikehendaki dan tidak ada paksaan dalam memilih agama, walaupun orang-orang Islam dikehendaki menjalankan kewajipan berdakwah. Al-Quran sendiri menegaskan semua manusia perlu diberi penghormatan dan kejadian mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan puak adalah bertujuan semata-mata supaya mereka saling mengenali , bermuafakat dan bukan untuk membenci di antara satu sama lain.
Sebenarnya dengan asas iman dan takwa, umat Islam memiliki tanggungjawab keagamaan untuk melindungi nyawa, harta dan kehormatan orang-orang bukan Islam. Adalah kewajipan umat Islam agar berbuat baik dan bersahabat dengan orang bukan Islam yang tidak memusuhi agama Islam dan umat Islam (Quran, 60:8-9). Nabi Muhammad s.a.w telah memberi amaran kepada orang-orang Islam agar tidak menzalimi dan melakukan penganiayaan terhadap orang-orang bukan Islam. Malah penganiayaan yang terjadi dianggap sebagai menyakiti Allah s.w.t dan RasulNya.
Seseorang yang memiliki iman dan takwa akan melihat sesama manusia sebagai kejadian Allah s.w.t yang mulia tanpa memberi justifikasi darjat seseorang mengikut agama dan bangsanya. Ia memberi pertolongan dan pergaulan yang baik kepada semua, tanpa mengira bangsa, agama dan budaya. Malah orang yang beriman dan bertakwa sentiasa menjadikan dirinya sebagai cermin dimasyarakatnya dan memberi contoh yang terbaik dalam pergaulan dan muamalah.
Rasulullah s.a.w mengisyaratkan bahawa bukan dari orang yang beriman dan bertakwa jika seseorang itu memiliki sifat suka menuduh yang bukan-bukan, suka melaknat orang, lidahnya kotor dan hatinya busuk (al-Hadis).

IMAN DAN TAKWA MENJANA MODAL INSAN

Pembangunan sumber manusia yang dikenali juga sebagai modal insan merupakan agenda yang sangat penting dan harus diberi penekanan. Ini berteraskan kepentingannya yang menentukan prestasi, kemajuan, pembangunan, pemodenan dan tamadun sesebuah masyarakat yang bertunjangkan agama.
Iman dan takwa mempunyai peranan penting dalam melahirkan sumber manusia yang unggul berakhlak dan bermoral. Ia merupakan satu kekuatan yang tercetus dalam diri seseorang yang hati nurani, akal budi dan seluruh peribadinya sudah diresapi, dibentuk dan dikuasai sepenuhnya oleh nilai-nilai murni keagamaan sehingga seluruh tindakannya dikendali, dipandu dan ditunjuk oleh kepercayaan yang meresap dalam hati sanubarinya. Dari sanalah terpancar sinar yang membangkitkan untuk beramal dan berusaha dengan kuat untuk membangunkan diri, masyarakat dan negaranya.
Manusia yang beriman dan bertakwa adalah manusia yang mudah menerima kebenaran dan mampu mempertahankannya dan menyebarkannya kepada orang lain, baik melalui pengajaran dan pendidikan mahupun melalui suri tauladan yang terlihat dalam amalan hariannya. Oleh itu, iman dan takwa merupakan nadi penggerak pembangunan insan yang dapat menghasilkan sumber manusia yang berkebolehan dan berupaya dalam melaksanakan pembangunan tamadun yang dicita-citakan.
Konsep “Ibadu Rahman” (hamba Allah), dalam al-Quran adalah elemen penting menjana model sumber manusia yang unggul yang menjadi idaman setiap masyarakat membangun. Di antara ciri-ciri manusia ibadu rahman, ialah:
Hidup sederhana, tidak membazir dalam kehidupannya.
Sopan-santun dalam pergaulan dan berkomunikasi
Mentaati segala perintah Tuhannya
Memiliki rasa pertimbangan yang adil dan saksama
Tidak membazir dalam menggunakan rezeki yang dimilikinya
Menjauhi perkara yang membawa kepada kederhakaan seperti ingkar kebaikan, pembaziran dan;
Tidak bersekongkol dengan usaha dan perkara mungkar serta tidak terpengaruh dengan budaya negatif sekeliling.
Menjaga dan memelihara kerukunan rumahtangga, menghormati yang lebih tua dan mengasihi yang lebih muda.
Menjaga hak dan maruahnya disamping menghormati hak-hak orang lain.
Dengan demikian, jelaslah akan kepentingan iman dan takwa dalam rangka pendidikan dan pembangunan sumber manusia. Sebab pembangunan sumber manusia adalah asas utama dalam membangunkan tamadun dan peradaban dunia pada masa silam, kini dan akan datang