Tuesday, May 6, 2008

IMAN DAN TAKWA KAITANYA DENGAN ORANG ISLAM

Di Malaysia, agama Islam telah ditentukan sebagai agama rasmi negara melalui Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, rakyat bebas menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Toleransi agama seperti ini merupakan satu pendekatan keagamaan yang didorong oleh rasa iman dan takwa umat Islam. Ia telahpun diterjemahkan dalam kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. Beliau juga memberi ruang kepada penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman di Kota Madinah.
Kedudukan orang-orang bukan Islam yang tidak terjejas hak mereka, dapat dilihat dengan lebih jauh dalam amalan Baginda, khususnya dalam Perlembagaan Madinah. Dokumen ini merupakan bukti konkrit di mana orang-orang Islam dan bukan Islam hidup bersama-sama dan masing-masing menikmati hak mereka, sungguhpun orang-orang Islam kuat pegangan agama mereka. Malah penghayatan mereka kepada iman dan takwa mendorong mereka untuk lebih bertanggungjawab terhadap semua anggota masyarakat termasuk yang bukan Islam.
Iman dan takwa sama sekali tidak menghalang kewujudan bersama orang-orang bukan Islam di kalangan masyarakat Islam. Al-Quran dengan jelas mengiktiraf hakikat kewujudan masyarakat majmuk dalam sesebuah masyarakat. Malah konsep kongsi kuasa sepertimana amalan Malaysia adalah tidak bercanggah dengan nilai iman dan takwa yang menjadi pegangan kepercayaan umat Islam. Justeru itu, ianya memberi impak yang cukup besar di mana hampir tiada kacau bilau mahupun pertelingkahan yang timbul akibat daripada salah faham agama.
Kewujudan berbagai-bagai bangsa dan agama dapat dilihat umpamanya menerusi konsep kebebasan beragama yang diberi jaminan dalam Islam. Orang-orang bukan Islam adalah bebas untuk menganut apa-apa kepercayaan yang dikehendaki dan tidak ada paksaan dalam memilih agama, walaupun orang-orang Islam dikehendaki menjalankan kewajipan berdakwah. Al-Quran sendiri menegaskan semua manusia perlu diberi penghormatan dan kejadian mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan puak adalah bertujuan semata-mata supaya mereka saling mengenali , bermuafakat dan bukan untuk membenci di antara satu sama lain.
Sebenarnya dengan asas iman dan takwa, umat Islam memiliki tanggungjawab keagamaan untuk melindungi nyawa, harta dan kehormatan orang-orang bukan Islam. Adalah kewajipan umat Islam agar berbuat baik dan bersahabat dengan orang bukan Islam yang tidak memusuhi agama Islam dan umat Islam (Quran, 60:8-9). Nabi Muhammad s.a.w telah memberi amaran kepada orang-orang Islam agar tidak menzalimi dan melakukan penganiayaan terhadap orang-orang bukan Islam. Malah penganiayaan yang terjadi dianggap sebagai menyakiti Allah s.w.t dan RasulNya.
Seseorang yang memiliki iman dan takwa akan melihat sesama manusia sebagai kejadian Allah s.w.t yang mulia tanpa memberi justifikasi darjat seseorang mengikut agama dan bangsanya. Ia memberi pertolongan dan pergaulan yang baik kepada semua, tanpa mengira bangsa, agama dan budaya. Malah orang yang beriman dan bertakwa sentiasa menjadikan dirinya sebagai cermin dimasyarakatnya dan memberi contoh yang terbaik dalam pergaulan dan muamalah.
Rasulullah s.a.w mengisyaratkan bahawa bukan dari orang yang beriman dan bertakwa jika seseorang itu memiliki sifat suka menuduh yang bukan-bukan, suka melaknat orang, lidahnya kotor dan hatinya busuk (al-Hadis).

No comments: